
APABILA menyebut perkataan ‘isteri’, pasti ramai yang mula membayangkan tugas yang perlu dilaksanakan oleh mereka yang memegang status tersebut.
Tugas utama pastinya menyediakan kelengkapan suami dan anak-anak serta memasak.
Bagaimanapun, di Britain, seorang wanita dengan bangga memberitahu bahawa beliau tidak pernah melakukan tugasan seorang isteri atau ibu di rumah, sebaliknya ia disediakan oleh suaminya sepanjang tujuh tahun perkahwinannya.
Suaminya pula bukanlah seorang bapa sepenuh masa, tetapi turut mempunyai pekerjaan tetap.
Menurut Kate, 39, kesibukannya sebagai Naib Editor di sebuah syarikat penerbitan majalah menjadi penghalang untuk dia melaksanakan tugas sebagai seorang isteri dan akhirnya menjadi kebiasaan buatnya.
“Sejujurnya, saya tidak pernah menggosok pakaian suami saya, Ben dan memasak pun jarang sekali.
“Mengapa saya perlu memikirkan perkara-perkara itu sedangkan dia boleh melakukannya lebih baik dari saya,” ujarnya, memetik laporan Daily Mail.
Kenyataan Kate itu mengundang banyak komen negatif daripada pembaca yang menyifatkan sikap wanita itu sebagai mementingkan diri sendiri.
Pada masa yang sama, dia menyatakan bahawa suaminya tidak kisah mengenai cara hidup mereka walaupun hakikatnya ia berlaku kerana sikapnya yang terlalu mementingkan kerjaya itu.
Suaminya itu juga bertindak menguruskan anak-anak selain menyediakan sarapan untuk mereka di rumah.
Tambah Kate lagi, Ben memudahkan kehidupannya dan menjadikan dia lebih gembira.
Kepada para suami di luar sana, mampukah anda bertahan dengan isteri sebegini? Tepuk dada, tanyalah selera.



Oleh: ELZA
0 komentar:
Posting Komentar