Jumat, 14 Maret 2014

China Ajak Selesai Isu Secara Aman


Jakarta – Presiden China, Xi Jinping berkata, pertikaian wilayah negara itu dengan Asia Tenggara perlu diselesaikan ‘secara aman’, cubaan memperbaiki hubungan dingin dengan beberapa negara di rantau ini.

Xi yang mengadakan siri lawatan pertama ke Asia Tenggara sejak mengambil alih kuasa pada Mac lalu, berkata, beliau berusaha untuk menangani pertikaian isu maritim berhubung tuntutan Beijing terhadap keseluruhan Laut China Selatan.

“China memerlukan Indonesia memainkan peranan utama dalam ASEAN dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara anggotanya untuk membuat keputusan bagi kemakmuran bersama.” Xi Jinping, Presiden China

Xi memberitahu ahli perundangan Indonesia bahawa China dan 10 negara anggota ASEAN patut menyelesaikan masalah wilayah dan maritim secara aman sekali gus dapat menjaga kestabilan dan keamanan hubungan serantau.

“Asia Tenggara adalah hab penting sebagai Laluan Sutera di Laut China Selatan malah China kini bersedia untuk meningkatkan kerjasama maritim dengan ASEAN.”

“China memerlukan Indonesia memainkan peranan utama dalam ASEAN dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara ASEAN untuk membuat keputusan bagi kemakmuran bersama,” katanya.

Pertindihan tuntutan

Selain itu, China turut menghadapi isu pertindihan tuntutan wilayah di bahagian laut dengan beberapa negara lain, terutama Vietnam dan Filipina.

Penganalisis menjelaskan ucapan yang dibuat Xi mengandungi mesej perdamaian dan memperbaiki hubungan, tetapi kurang menawarkan perkara baru.

Pengarah program China di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam, Li Mingjiang, berkata nada ucapan Xi menunjukkan sikap terbuka, menerima dan lebih tenang dalam isu perebutan wilayah.

“Perubahan ini sudah mula kelihatan. Kita tidak lagi melihat China membuat rondaan secara agresif di Laut China Selatan sejak Xi mengambil alih pemerintahan,” katanya.

Bagaimanapun Profesor di Universiti Pertahanan Indonesia, Bantaro Bandoro berkata, beliau tidak melihat sesuatu yang baru dalam kenyataan Xi.
“China tidak akan korbankan prinsip kedaulatannya,” katanya.

Tiada tanda bahawa Beijing akan tunduk kepada desakan ASEAN supaya China menerima kod etika perundangan ketika menangani isu perebutan wilayah di Laut China Selatan. – AFP

0 komentar:

Posting Komentar